Keluarga adalah asas kepada
arah pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Pembinaan dan
pembentukan keluarga yang bahagia perlu menerapkan cara hidup yang positif
berlandaskan ilmu dan nilai-nilai akhlak yang baik. Dalam kehidupan, setiap
insan memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh mana diri seseorang itu
boleh membentuk dan menentukan kebahagiaan mereka, terutamanya dalam hidup berkeluarga.
Untuk mengupas lebih lanjut
lagi, apa yang ingin saya perjelaskan dalam artikel saya ini adalah mengenai
bagaimana peranan ahli keluarga, terutama ibu bapa itu sendiri melihat kesan
penggunaan gajet atau teknologi dalam kalangan anak-anak mereka dan juga
terhadap hubungan suami isteri. Adakah kemunculan gajet yang ada pada hari ini
memberi kesan baik atau buruk terhadap hubungan kekeluargaan, atau mungkin
boleh menyebabkan nilai-nilai moral yang dipegang sejak kecil lagi luntur
begitu sahaja hanya disebabkan ‘kehebatan’ gajet itu sendiri yang boleh
dianggap sebagai ‘orang ketiga’ dalam hubungan kekeluargaan? Dalam Islam juga mengajar bahawa keluarga
yang bahagia dan sejahtera adalah bertunjangkan pada sikap dan tatacara yang
diamalkan dalam keluarga itu sendiri tetapi bukan pada perkara yang dibentuk
dengan memusatkan kehidupan pada prinsip buatan manusia itu sendiri.
Apa sebenarnya yang
dimaksudkan dengan gajet? Umum mengetahui bahawa dalam dunia yang serba moden
ini, atau boleh dikatakan dunia tanpa sempadan merupakan suatu era di mana
telah berlakunya banyak anjakan paradigma terutamanya perubahan yang berlaku
dari segi dunia teknologi yang semakin berkembang maju dari satu tahap ke satu
tahap yang baru, lebih-lebih lagi masyarakat hari ini menganggap teknologi
sebagai satu medium yang mudah untuk memperoleh maklumat kerana semuanya hanya
terletak di hujung jari. Gajet merupakan suatu alat berbentuk elektronik
canggih yang mengandungi aplikasi-aplikasi tertentu yang membolehkan pengguna
menggunakan gajet tersebut untuk mengakses segala maklumat tanpa sekatan. Kebanyakkan
gajet yang ada pada harini boleh didapati dalam bentuk yang kecil dan mudah
untuk dibawa ke mana-mana mengikut kehendak pengguna itu sendiri.
Ayat di atas memberi maksud
bahawa kemunculan gajet-gajet moden seperti telefon bimbit, laptop, MP3, MP4,
tablet, iPad dan sebagainya telah mencetuskan impak yang sangat mendalam dalam
sesebuah kehidupan dan dalam sesuatu perhubungan terutamanya terhadap hubungan
kekeluargaan. Kemunculan gajet ini secara amnya boleh menyebabkan hubungan
kekeluargaan yang dibina memberi kesan sama ada kesan positif atau kesan
negatif. Dalam hal seperti ini, menurut pendapat saya, kebanyakkan gajet-gajet
yang muncul pada era ini secara tak langsung telah menimbulkan impak yang
negatif kepada hubungan kekeluargaan, terutamanya antara hubungan ibu bapa
dengan anak-anak mereka. Mengapa saya berkata demikian, sedangkan ramai yang
mengetahui bahawa gajet seperti telefon bimbit tidak dinafikan merupakan satu
medium yang digunakan untuk berhubung dan berkomunikasi dengan ahli keluarga
dan orang lain dalam jarak yang jauh? Hal ini kerana gajet itu ada kalanya
boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan itu menjadi renggang dan menimbulkan
jurang antara sesame ahli keluarga, lebih-lebih lagi hubungan pada ibu bapa dan
anak.
Maksudnya di sini, apa yang
menyebabkan hubungan kekeluargaan itu menjadi renggang disebabkan oleh beberapa
faktor luaran dan dalaman yang secara tak sedarnya telah dicetuskan oleh diri
kita sendiri. Kita mengambil contoh dalam menyambut sambutan Aidilfitri.
Penggunaaan gajet seperti telefon bimbit itu sendiri bukan lagi menjadi satu
bentuk kemewahan, tetapi keperluan. Sebelum ini, kad raya menjadi kaedah utama
untuk masyarakat menzahirkan ucapan aidilfitri kepada keluarga, rakan, dan
pasangan, namun kini kaedah konvensional itu tidak lagi menjadi kaedah utama
dan semakin dilupakan. Kita boleh lihat di sini bahawa kebergantungan terhadap
gajet sebenarnya telah menampakkan kesan yang negatif apabila keluarga dan
sanak saudara berkumpul bersama dalam suasana hari raya mula mengabaikan
interaksi sosial dan secara bersemuka walaupun berada dalam ruang yang sama.
Secara tak langsung, jika hal seperti ini berlaku dan semakin berterusan, saya
khuatir interaksi sosial ini akan rapuh dan menjejaskan keintiman dalam
hubungan kekeluargaan.
Gajet juga memberi kesan
negatif kepada hubungan suami isteri. Bagaimana gajet atau teknologi itu
sendiri memberi impak negatif kepada suami isteri sehingga boleh mengakibatkan
krisis dan keruntuhan institusi rumah tangga? Sebagai contoh, aplikasi Whatssapp
dan sosial media seperti Facebook yang yang digunakan melalui gajet tersebut.
Seharusnya, media baru dan media sosial tersebut yang sepatutnya digunakan
untuk menjadi penghubung dan permudah cara untuk berinteraksi, menjadi medium
untuk meluahkan rasa marah dan sebagainya. Hal ini secara tak langsung mampu
menyebabkan perceraian kerana penggunaan bahasa yang digunakan dalam aplikasi
tidak sama dengan bahasa atau nada yang sepatutnya digunakan semasa
berkomunikasi secara bersemuka. Faktor inilah yang memungkinkan yang boleh
menimbulkan salah faham antara suami isteri dan membuat hubungan suami isteri
menjadi renggang malah tidak bertegur sapa sehingga boleh mendorong berlakunya
kes perceraian. Bukan itu sahaja, penggunaan telefon pintar untuk menggunakan
media sosial seperti Facebook boleh mengundang kepada masalah perbuatan curang
antara suami dan isteri, seperti berkongsi gambar yang tidak senonoh,
bermesraan dengan lelaki atau wanita lain, ataupun memuat naik gambar atau
status yang tidak sesuai walaupun pada dasarnya mereka mengetahui yang mereka
sebenarnya adalah pasangan suami isteri.
Faktor lain yang boleh
menyumbang kepada masalah dalam hubungan kekeluargaan mempunyai jurang adalah
berpunca daripada sikap anak-anak itu sendiri yang tidak kisah akan persekitaran
di sekeliling mereka. Tidak kira dalam usia remaja mahupun dewasa, mereka lebih
cenderung untuk menghabiskan masa dengan hanya menatap skrin telefon atau
tablet berbanding dengan meluangkan masa bersama keluarga. Bagi keluarga yang
tinggal di kawasan metropolitan, sudah pastinya anak-anak mereka terdedah
dengan kemudahan gajet dan pergaulan mereka dengan rakan-rakan mereka yang juga
datang dari golongan berada yang mempunyai lambakan gajet yang diberikan oleh
ibu bapa mereka sendiri, menyebabkan anak-anak ini langsug tidak menghiraukan
keluarga mereka di rumah. Faktor ini yang akan menyebabkan anak-anak kurang
bergaul dan bermesra dengan ibu bapa dan adik beradik mereka sendiri disebabkan
oleh sikap mereka yang terlalu leka dengan gajet. Selain itu, keadaan sewaktu
di meja makan juga diambil kira. Walaupun dalam waktu itu mereka sedang
menikmati makanan bersama-sama, tetapi telefon pintar atau tablet tetap tidak
lepas pada tangan mereka.
Masalah-masalah
kekeluargaan yang berlaku secara keseluruhannya yang berpunca daripada gajet
ini tidak seharusnya dibiarkan terus menjadi duri dalam sesuatu perhubungan
terutamanya hubungan kekeluargaan. Ibu bapa secara khususnya memainkan peranan
yang sangat penting dalam menyuburkan kemesraan dalam keluarga dan juga dengan
anak-anak. Ibu bapa seharusnya mengambil inisiatif dengan memperbanyakkan
aktiviti-aktiviti kekeluargaan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa
anak-anak mereka beriadah atau melancong ke tempat-tempat menarik. Hal ini akan
menjadikan hubungan antara sesame mereka menjadi lebih mesra dan hubungan
antara suami dan isteri juga akan jadi lebih rapat disebabkan oleh aktiviti
yang dilakukan bersama. Memang tidak dinafikan, jika keluar bersama sama itu
pastinya inginkan mengambil gambar selfie
dan seterusnya akan memuat naik ke media sosial, namun hal itu boleh dikawal dan
boleh dilakukan pada masa yang dibenarkan sahaja.
Selain itu, suami dan
isteri itu juga perlu bersama sama menjaga hubungan antara mereka dengan
sebaiknya. Suami mahupun isteri memainkan peranan penting dalam menghidupkan
suasana dan hubungan yang mesra antara mereka. Tidak salah jika ingin memuat
naik atau berkongsi gambar sendiri di media sosial, tetapi perlu diingatkan
supaya tidak terlalu ghairah supaya tidak menimbulkan sebarang masalah atau
ketidaksefahaman antara satu sama lain sehingga boleh menimbulkan perceraian.
Apa yang boleh dilakukan untuk mengelakkan sebarang masalah di masa akan
datang, suami mahupun isteri boleh berkongsi gambar privasi mereka bersama di
laman sosial. Hal ini secara tak langsung akan menjadikan hubungan mereka lebih
mesra dan pihak luar tahu akan status hubungan mereka yang sudah berkahwin.
Peranan anak-anak juga
diambil kira dalam menentukan keharmonian kekeluargaan. Anak-anak seharusnya
sedar bahawa mereka juga berperanan dalam mencipta suasana yang harmonis dalam
keluarga. Mereka harus sedar yang hubungan kekeluargaan yang mesra bermula dari
mereka sendiri, pergaulan bersama dengan ibu bapa dan adik beradik yang lain
perlu dilakukan bersama sama dengan supaya hubungan mereka akan terus mekar dan
semakin menyayangi antara satu sama lain. Mungkin anak-anak itu sendiri boleh
memberikan penyelesaian dengan mewujudkan “Hari Tanpa Gajet Semasa Makan”
dengan meletakkan telefon pintar atau gajet-gajet yang lain di tempat lain
selain di meja makan untuk mewujudkan suasana yang lebih meriah dan interaksi
sosial dapat dicipta antara ahli keluarga.
Secara keseluruhannya, menurut
apa yang telah dibincangkan, kemunculan gajet-gajet moden yang wujud pada era
ini sememangnya banyak menimbulkan implikasi yang buruk walaupun pada dasarnya
gajet itu sebenarnya medium atau alat yang sering digunakan untuk berhubung
antara sesame kita. Pengawalan penggunaan gajet ini jika tidak dikawal dengan
sebaiknya, secara tak langsung pasti akan mengakibatkan hubungan kekeluargaan
tidak seimbang dan tidak mustahil hubungan kekeluargaan yang dibina sejak dari
awal lagi akan rapuh dan seterusnya akan meruntuhkan institusi kekeluargaan.
Comments
Post a Comment