Skip to main content

KERUNTUHAN INSTITUSI KEKELUARGAAN: APAKAH PUNCA DAN IMPLIKASINYA?


Apabila ditanya mengenai definisi atau istilah perkahwinan sudah pasti setiap pasangan yang telah menjalaninya menginginkan hubungan yang dicipta kekal hingga ke syurga. Namun pada hakikatnya, kini penceraian dilihat sebagai satu jalan penyelesaian terbaik yang sering diguna pakai oleh golongan yang sudah mendirikan rumah tangga terutamanya ketika mereka berhadapan dengan konflik dalam perkahwinan mereka. Penceraian boleh didefinisikan sebagai perpisahan yang berlaku dalam kalangan suami isteri yang disebabkan oleh tiadanya persefahaman di antara mereka. Dalam erti lain, penceraian itu membawa maksud perpisahan yang berlaku diantara seorang suami dan seorang isteri yang diiktiraf oleh undang-undang dan ia membolehkan kedua-dua mereka untuk berkahwin lain.
Mutakhir ini, isu penceraian telah semakin menular dalam kalangan masyarakat di Malaysia sehingga ia menjejaskan sebuah institusi kekeluargaan. Malahan perkara ini juga dilihat semakin kerap berlaku dalam kalangan selebriti di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Antara selebriti yang popular dengan isu penceraian adalah seperti pasangan Elly Mazlein dan Azmi Hatta, Rita Rudaini dan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan serta pasangan Erra Fazira dan Engku Emran. Malahan, ada diantara selebriti tersebut dilihat tidak bernasib baik dalam hubungan perkahwinan apabila penceraian yang berlaku adalah merupakan penceraian kali kedua bagi mereka. Hal ini mungkin disebabkan oleh skop pekerjaan mereka sebagai seorang selebriti yang sentiasa dikelilingi oleh masyarakat sebagai peminat mahupun penyokong sehingga menyebabkan mereka begitu dikenali oleh ramai orang.
 Oleh yang demikian, isu penceraian yang berlaku dalam kalangan mereka mudah menjadi tular sehingga ke seluruh Malaysia melalui pelbagai medium sama ada media cetak mahupun media elektronik terutamanya media sosial yang mana ia dilihat sebagai salah satu medium yang paling pantas dan cepat untuk menyebarkan berita-berita seperti ini. Seterusnya, berita-berita penceraian yang keluar di televisyen, radio, akhbar mahupun laman-laman sosial seringkali menjadi bahan bualan masyarakat yang gemar mencipta andaian dan spekulasi berkaitan isu tersebut. Malah, ada diantara mereka menjadi mangsa kecaman masyarakat yang suka campur tangan akan urusan rumah tangga orang lain. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan kepada kita bahawa isu penceraian di Malaysia adalah suatu masalah yang semakin membimbangkan.
Selain itu, terdapat banyak kes penceraian yang melibatkan pasangan beragama Islam didaftarkan bermula dari bulan Januari sehingga Julai tahun lalu iaitu kira-kira hampir 48,100 pasangan. Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Azizah Mohd Dun daripada jumlah yang dinyatakan tersebut, sebanyak 3 buah negeri telah mencatat rekod kes penceraian yang tertinggi iaitu Selangor mencatat 7,731 kes, diikuti oleh Sabah sebanyak 6,638 kes dan yang terakhir sekali adalah Johor iaitu sebanyak 4700 kes. Seperti yang kita sedia maklum, isu ini adalah suatu perkara yang sangat membimbangkan dan perlu diberikan perhatian yang khusus daripada pihak yang berwajib. Hal ini kerana, selain ia memberikan implikasi yang buruk terhadap institusi kekeluargaan ia juga turut boleh menjadi barah dalam masyarakat. Isu penceraian yang sering berlaku ini boleh menyumbang kepada berlakunya masalah-masalah sosial yang lainnya. Oleh yang demikian, punca berlakunya kes-kes penceraian ini hendaklah dikenalpasti serta implikasinya terhadap institusi kekeluargaan juga turut perlu diambil perhatian. Bak kata pepatah ‘mencegah lebih baik dari merawat’.



PUNCA BERLAKUNYA KES PENCERAIAN
Terdapat beberapa punca utama yang dilihat mendorong kepada berlakunya keruntuhan dalam institusi rumah tangga atau dengan bahasa mudahnya faktor yang mendorong kepada berlakunya penceraian dalam hubungan perkahwinan. Antaranya adalah kurangnya pengetahuan ilmu agama, kewujudan pihak ketiga, masalah ekonomi keluarga, faktor seksual serta keganasan rumah tangga.

1)      Kekurangan Ilmu Agama
Dalam membina sebuah hubungan perkahwinan yang baik dan harmoni, adalah sangat penting bagi setiap pasangan untuk mempunyai pengetahuan ilmu agama yang cukup. Hal ini kerana, pasangan yang cetek akan pengetahuan ilmu agama kebanyakannya menunjukkan kepada kita bahawa mereka masih belum cukup matang untuk memikul tanggungjawab masing-masing serta memahami peranan mereka mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syarak. Ilmu agama ini sangat diperlukan terutamanya bagi sang suami yang merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab untuk membimbing isteri dan anak-anaknya. Hal ini demikian kerana agama merupakan tunggak utama dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Malah, dalam Islam juga turut menyatakan bahawa betapa pentingnya ilmu agama kerana ilmu agama yang mengajarkan kita tentang bagaimana untuk mendidik akhlak dan jiwa yang luhur, membentuk kesantunan yang tinggi serta mempersiapkan diri dengan sifat-sifat yang terpuji yang akhirnya membawa kepada redha Ilahi. Seperti yang kita sedia maklum, tanpa pegangan ilmu agama, sesebuah institusi kekeluargaan itu akan mudah goyah dengan hasutan iblis yang gembira melihat perpecahan dalam hubungan kekeluargaan terutamanya ketika pasangan tersebut menghadapi dugaan konflik rumah tangga yang tiada jalan penyelesaian. Hal ini seterusnya, mendorong mereka untuk mengambil keputusan dengan menyelesaikan konflik tersebut melalui solusi penceraian.

2)      Faktor Seksual

Dalam konteks perkahwinan, faktor seksual merupakan salah satu punca yang mengundang kepada berlakunya penceraian. Antara contoh faktor seksual yang mendorong kepada berlakunya penceraian adalah pasangan bersikap dingin sehingga menyebabkan pasangan tidak menemui kepuasan dalam melakukan hubungan intim. Perkara ini mungkin berlaku disebabkan oleh si suami mempunyai masalah berkaitan kesihatan batin sehingga mendorong beliau untuk bersikap dingin. Disamping itu, ia juga mungkin disebabkan oleh si isteri yang enggan hamil terlalu kerap untuk menjaga potongan tubuh badan. Oleh yang demikian, sekiranya keperluan batin tersebut tidak dipenuhi ia menyebabkan suami atau isteri merasakan bahawa nafkah yang diberikan tidak dilaksanakan dengan sempurna seterusnya mempengaruhi keintiman mereka ketika bersama. Hal ini seterusnya mendorong pasangan tersebut untuk mencari orang lain untuk memenuhi keinginannya, yang akhirnya mewujudkan pertelingkahan sesama mereka sehingga mendorong kepada berlakunya penceraian.

1)      Keganasan Rumah Tangga
Seterusnya, keganasan rumah tangga boleh didefinisikan sebagai perbuatan melakukan kekerasan sehingga meletakkan ahli keluarga berasa dalam ketakutan disebabkan penderaan yang dilakukan secara mental atau fizikal. Dewasa ini, seringkali kita mendengar kes-kes penderaan yang berlaku di Malaysia yang mana si suami mendera si isteri dengan pelbagai jenis penderaan seperti penderaan emosi, fizikal serta seksual.
Malahan, anak-anak turut menjadi mangsa keganasan rumah tangga yang dilakukan oleh si ayah.  Lazimnya, keganasan rumah tangga ini berlaku bermula dengan pergaduhan yang kecil yang akhirnya menyebabkan amukan yang besar sehingga menjadikan salah seorang daripada mereka menjadi tidak terkawal. Ketua keluarga yang sepatutnya berperanan melindungi keluarga akhirnya dilihat sebagai seorang raksasa yang jahat yang dibenci oleh ahli keluarganya sendiri. Meskipun, terdapat juga kaum lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga yang dilakukan oleh pihak wanita namun peratusan keganasan rumah tangga yang dilakukan oleh pihak lelaki adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan pihak wanita.




IMPLIKASI PENCERAIAN TERHADAP ANAK-ANAK
Seperti kita sedia maklum, penceraian memberi pelbagai kesan terhadap anak anak. Hal ini kerana, pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan suami isteri yang mendorong kepada berlakunya penceraian menjadikan anak-anak mereka merasa tertekan dengan situasi yang berlaku seterusnya memberi impak yang tidak baik dalam diri anak-anak tersebut. Antara implikasi penceraian terhadap anak-anak yang boleh kita lihat adalah hilang tumpuan dalam pelajaran, mengubah sikap mereka kepada arah yang negatif dan ia juga menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan aktiviti yang tidak sihat.


1)      Tercicir Dalam Pelajaran
Keruntuhan institusi kekeluargaan menyebabkan hubungan suami, isteri serta anak-anak menjadi semakin renggang. Kebanyakkan daripada mereka membuat haluan masing-masing sehinggakan kadangkala si bapa lupa akan tanggungjawabnya kepada anak-anak dan si ibu pula membawa diri serta anak-anaknya jauh dari kasihnya seorang bapa. Hal ini menjadikan anak-anak merasa tertekan sehinggakan anak-anak yang masih bersekolah tidak dapat menumpukan perhatian dan memberi fokus kepada pelajaran. Mereka menjadi mangsa keadaan sehingga menjadikan ramai dalam kalangan mereka tercicir dalam pelajaran.
Seharusnya, perkara sebegini tidak boleh berlaku kerana ibu bapa merupakan individu yang sangat diperlukan oleh anak-anak untuk memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang baik. Selain itu, ibu bapa juga sepatutnya menjadi individu yang bertanggungjawab dalam memastikan anak mereka diberikan perhatian yang cukup dan mendapatkan pendidikan yang sempurna. Namun begitu, penceraian yang berlaku menyebabkan suasana rumah menjadi hambar sehingga menjadikan anak-anak tidak berasa seronok serta menyebabkan mereka kehilangan minat dan malas untuk belajar. Hal ini seterusnya menjadikan anak-anak tercicir dalam pelajaran yang akhirnya membawa kepada kemerosotan prestasi mereka dalam bidang akademik.

2)      Perubahan Sikap
Seterusnya, penceraian yang berlaku juga turut memberi impak terhadap perubahan sikap anak-anak. Hal ini kerana, keruntuhan institusi kekeluargaan yang berlaku menyebabkan anak-anak ini memberontak serta berubah sikap menjadi seorang yang pemarah dan penuh dengan sifat kebencian dalam dirinya. Perkara ini mungkin terjadi disebabkan mereka tersepit dengan situasi yang berlaku seterusnya bertindak untuk menyalahkan diri mereka sendiri kerana merasakan bahawa mereka merupakan punca kepada terjadinya penceraian di antara ibu dan bapa mereka. Ia juga mendorong mereka untuk menjadi seorang yang pasif iaitu seorang yang kerap bermurung, dan kurang akan keyakinan diri. Perkara sebegini juga mendorong mereka untuk memendam perasaan dan menjadi seorang yang lebih beremosi sehingga ada diantara mereka menjadi mangsa buli rakan-rakan di sekolah. Natijahnya, anak-anak ini mengalami tekanan emosi yang teruk dan mendorong mereka untuk memberontak dan seterunsya menjadi seorang individu yang pemarah dan pendendam terhadap setiap perkara negativf yang berlaku kepada dirinya. Tambahan lagi, ia juga turut mendorong mereka untuk hilang rasa hormat kepada kedua ibu bapa mereka.

Holistiknya, isu penceraian ini dilihat seolah-olah telah menjadi barah dalam masyarakat di Malaysia. Peratus peningkatan pendaftaran kes penceraian juga dilihat semakin tidak terkawal. Sekiranya perkara ini tidak dikawal dan dicegah ia mungkin akan menjadi semakin teruk dan akhirnya membawa kepada penularan masalah sosial terutamanya kepada anak-anak mangsa penceraian. Oleh hal yang demikian, semua pihak hendaklah mengambil langkah yang sesuai untuk membendung masalah ini dari terus berlaku. Seperti yang kita sedia maklum, tidak guna sekiranya Negara semakin pesat membangun jika rakyatnya masih ketandusan akan akhlak dan mundur dari aspek pembangunan mental dan juga spiritual.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

TANGGUNGJAWAB KETUA KELUARGA MEMASTIKAN RUMAH TANGGA BAHAGIA

Satu tajuk yang cukup menarik bagi sesebuah institusi kekeluargaan iaitu, “tanggungjawab ketua keluarga memastikan rumah tangga bahagia.” Saya yakin tajuk yang bakal dikupaskan ini nanti pasti dapat memenuhi kehendak bagi mendapatkan garis panduan yang betul kepada setiap pembaca terutamanya kepada suami atau ketua keluarga mahupun isi rumah yang mengidamkan sebuah mahligai kekeluargaan yang aman dan harmoni mengikut landasan yang betul. Menurut kamus dewan edisi terkini, tanggungjawab ialah sesuatu kerja atau tugas yang mesti dilakukan oleh seseorang. Tanggungjawab juga lebih dikenali dengan kewajipan yang dipikul oleh seseorang manusia dan segala yang ditanggung olehnya. Oleh itu, jangan sesekali memberikan tanggungjawab kepada orang yang tidak boleh dipercayai dalam memimpin dan membimbing keluarga ke jalan yang benar. Perkataan ketua pula ialah sinonim dengan perkataan pemimpin ataupun khalifah. Seterusnya, Perkataan keluarga pula bermaksud keturunan kita. Selain itu, perka

TIPS MENGERATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN

Sering terjadi beberapa hal yang melibatkan masalah rumah tangga sehinggalah menyebabkan berlakunya hal-hal yang tidak diingini. Zaman moden yang semakin canggih turut menjadi cabaran dalam kehidupan berkeluarga. Kes-kes penceraian kerap kali didengar pada masa kini sehinggakan menyebabkan beberapa golongan yang berstatus bujang takut untuk mendirikan rumah tangga mereka bersama yang dicintai. Kes penceraian yang semakin banyak terjadi menyebabkan anak-anak menjadi mangsa keadaan yang seterusnya akan menggangu emosi mereka. Akhirnya anak-anak tidak mendapat perhatian yang sepenuhnya sehinggakan menyebabkan anak-anak mereka terlibat dalam kancah yang tidak sihat seperti zina, rokok, rompak dan pelbagai jenis masalah sosial yang lain. Hal ini menyebabkan negara Malaysia tidak dapat melahirkan pemuda yang berwawasan tinggi dan berkaliber yang seterusnya akan dapat membantu negara dalam melahirkan masyarakat yang berdaya saing. Sehubungan dengan itu, ibu bapa memainkan peranan yang