Skip to main content

AMALAN PEMAKANAN SIHAT SEISI KELUARGA


Amalan gaya pemakanan yang sihat dalam kalangan ahli keluarga merupakan antara amalan yang mampu menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan sesebuah institusi kekeluargaan. Pemilihan makanan sihat yang seimbang memainkan peranan penting bagi mengelakkan dan mengawal penyakit kronik yang mampu membawa maut seperti diabetes. Jadikanlah makanan sihat sebagai sebahagian daripada gaya hidup seharian dalam keluarga kita.
           
Sebagai ibubapa yang prihatin, penjagaan gaya pemakanan yang sihat wajar di utamakan dalam kalangan anak-anak dan perlu dipantau setiap masa. Ibubapalah yang bertanggungjawab mendidik anak-anak dan menekankan pengambilan makan yang sihat kepada mereka. Anak-anak perlu dibentuk agar terbiasa dengan amalan gaya pemakanan yang sihat dan berkhasiat seawal usia yang muda.
           
Penjagaan kesihatan sudah semestinya harus menjadi salah satu aspek yang perlu menjadi perhatian bagi bagi setiap ahli keluarga. Kesihatan keluarga perlu dijaga agar kehidupan lebih selesa dan gembira. Oleh itu, menjadi kewajipan bagi setiap orang memastikan amalan menjaga kesihatan diri dipraktikkan dengan sebaik mungkin.

          
Terdapat banyak langkah yang boleh diambil bagi mengawal gaya pemakanan yang betul agar tahap kesihatan seisi keluarga mampu ditingkatkan. Pertama sekali ialah dengan mengamalkan pengambilan makanan berkhasiat yang seimbang secara berterusan. Makanan berkhasiat merupakan makanan yang harus dimakan untuk memastikan tubuh badan seseorang berfungsi secara normal. Makanan seimbang seharusnya memberikan kita tenaga yang mencukupi dimana ia harus mengandungi karbohidrat, protein dan lemak secara optimum dan kandungan fiber yang mencukupi. Makanan yang memberi tenaga dapat membina badan dan dapat menjauhi kita daripada penyakit. 
Rancangan pengambilan makanan harian perlu dilakukan dirumah agar tidak berlaku pengambilan makanan secara berlebihan dalam kalangan ahli keluarga. Hal ini akan membantu mendisiplinkan ahli keluarga agar mengamalkan pengambilan makanan yang betul dan tidak melakukan pembaziran. Kawalan pemakanan yang berterusan dan seimbang akan membantu tubuh badan membina metabolisma yang tinggi serta mengawal berat badan daripada meningkat.
          
Penetapan pola waktu makan juga haruslah diseragamkan. Waktu makan yang tidak tetap akan menyebabkan kecenderungan untuk makan dalam kuantiti yang yang banyak. Tambahan pula, jika pola waktu makan dapat ditetapkan dalam satu-satu masa yang sesuai maka pemilihan juadah juga sudah semestinya mampu disusun dengan teratur. Inilah peluang yang sesuai untuk mempelbagaikan pengambilan makanan berkhasiat buat ahli keluarga.
           
Langkah yang seterusnya ialah dengan mengurangkan pengambilan makan ringan dalam kalangan ahli keluarga. Menurut kajian yang telah dilakukan, makanan ringan adalah antara makanan yang tidak berkhasiat dan ia juga turut menyumbang kepada peningkatan penyakit dalam kalangan masyarakat. Tidak hairanlah dalam era moden masa kini, masyarakat semakin terdedah dengan penyakit-penyakit berbahaya disebabkan oleh pengambilan makanan ringan serta tidak mengutamakan pengambilan makanan asas yang lebih berkhasiat. Tambahan pula, peningkatan jumlah premis perniagaan makan segera kini turut menjadi faktor mengapa masyarakat lebih memilih untuk membeli dan memakan makanan segera yang tidak sihat daripada mengamalkan pemakanan berkhasiat.
            
Selain daripada itu, pengambilan gula dalam makanan dan minuman juga perlu dikawal. Jika sebelum ini, kita biasa menggunakan jumlah sukatan gula yang tinggi dalam makanan atau minuman, maka kita perlu mengurangkan sukatan yang diambil. Selain daripada penyakit diabetes, pengambilan gula yang tinggi turut menyebabkan kegemukan, tekanan darah tinggi, fungsi imun terjejas serta menyebabkan penyakit jantung. Bagi kanak-kanak pula, ia akan menyebabkan tingkah-laku kanak-kanak menjadi terlalu aktif dan kadangkala sukar dikawal.
           
Langkah seterusnya ialah dengan memastikan pengambilan air minum yang cukup. Hal ini mampu mengelakkan tubuh badan daripada mengalami dehidrasi. Selain itu, minum air sekurang-kurangnya lima gelas sehari boleh mengurangkan risiko kanser usus sebanyak 45 peratus, kanser payudara (79 peratus) dan kanser pundi kencing (50 peratus). Air penting untuk melarutkan hasil sampingan metabolisme seperti asid urik dan urea yang diangkut oleh darah ke buah pinggang. Air mencukupi diperlukan untuk mengeluarkan bahan buangan ini dari badan dengan berkesan kerana kekurangan air memaksa buah pinggang bekerja lebih keras untuk menapis bahan toksik dan lama kelamaan ia boleh menyebabkan kerosakan organ penting ini.
           
Banyak faedah yang mampu diperolehi melalui amalan pemakanan sihat seisi keluarga yang dipraktikkan secara berterusan. Selain daripada kepentingan individu, penjagaan kesihatan keluarga turut memberi manfaat besar kepada komuniti. Keluarga yang sihat merupakan tunggak penting dalam melahirkan individu dan komuniti sejahtera. Kesejahteraan individu secara psikologi, mental dan fizikal boleh membantu membina komuniti yang makmur dari segi sosial, ekonomi dan kesejahteraan ekologi manusia.
            
Tahap kesihatan merupakan faktor penting dan masyarakat harus memberi keutamaan dalam penjagaan kesihatan yang membantu kesejahteraan dan keseimbangan sesebuah komuniti. Komuniti yang sihat sepenuhnya akan menghasilkan sebuah negara yang produktif serta melahirkan individu yang berada dalam keadaan tenang secara fizikal, psikologi dan mental. Oleh yang demikian, saranan dalam penjagaan kesihatan haruslah ditekankan bermula dari rumah iaitu melalui peranan keluarga hingga kepada masyarakat.
            
Pendidikan kesihatan berkaitan pengambilan dan pengamalan gaya pemakanan yang sihat perlu diperluaskan dalam kalangan masyarakat khususnya kepada individu dan keluarga dan keluarga bagi memberi kesedaran dan pengetahuan kepada mereka secara berkesan. Elemen-elemen seperti sokongan, kasih sayang, dan perhatian oleh keluarga merupakan elemen penting ke arah kesejahteraan individu dalam keluarga. Motivasi secara instrinsik ke atas ahli-ahli dalam keluarga mewujudkan satu keadaan tenang, tenteram dan harmoni dalam diri.
            
Sebagai kesimpulannya, pengamalan gaya pemakanan yang sihat dalam kalangan ahli keluarga mampu menjamin tahap kesejahteraan dan meningkatkan kualiti kehidupan keluarga tersebut. Maka, kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan antara aset yang perlu dijaga dan dipelihara agar kita mampu untuk membentuk satu keluarga bahagia dan sihat. Gaya pemakanan yang seimbang harus diamalkan kerana ia mampu mengelakkan dan melindungi tubuh badan daripada penyakit. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat.

Comments

Popular posts from this blog

KERUNTUHAN INSTITUSI KEKELUARGAAN: APAKAH PUNCA DAN IMPLIKASINYA?

Apabila ditanya mengenai definisi atau istilah perkahwinan sudah pasti setiap pasangan yang telah menjalaninya menginginkan hubungan yang dicipta kekal hingga ke syurga. Namun pada hakikatnya, kini penceraian dilihat sebagai satu jalan penyelesaian terbaik yang sering diguna pakai oleh golongan yang sudah mendirikan rumah tangga terutamanya ketika mereka berhadapan dengan konflik dalam perkahwinan mereka. Penceraian boleh didefinisikan sebagai perpisahan yang berlaku dalam kalangan suami isteri yang disebabkan oleh tiadanya persefahaman di antara mereka. Dalam erti lain, penceraian itu membawa maksud perpisahan yang berlaku diantara seorang suami dan seorang isteri yang diiktiraf oleh undang-undang dan ia membolehkan kedua-dua mereka untuk berkahwin lain. Mutakhir ini, isu penceraian telah semakin menular dalam kalangan masyarakat di Malaysia sehingga ia menjejaskan sebuah institusi kekeluargaan. Malahan perkara ini juga dilihat semakin kerap berlaku dalam kalangan selebriti di M

TANGGUNGJAWAB KETUA KELUARGA MEMASTIKAN RUMAH TANGGA BAHAGIA

Satu tajuk yang cukup menarik bagi sesebuah institusi kekeluargaan iaitu, “tanggungjawab ketua keluarga memastikan rumah tangga bahagia.” Saya yakin tajuk yang bakal dikupaskan ini nanti pasti dapat memenuhi kehendak bagi mendapatkan garis panduan yang betul kepada setiap pembaca terutamanya kepada suami atau ketua keluarga mahupun isi rumah yang mengidamkan sebuah mahligai kekeluargaan yang aman dan harmoni mengikut landasan yang betul. Menurut kamus dewan edisi terkini, tanggungjawab ialah sesuatu kerja atau tugas yang mesti dilakukan oleh seseorang. Tanggungjawab juga lebih dikenali dengan kewajipan yang dipikul oleh seseorang manusia dan segala yang ditanggung olehnya. Oleh itu, jangan sesekali memberikan tanggungjawab kepada orang yang tidak boleh dipercayai dalam memimpin dan membimbing keluarga ke jalan yang benar. Perkataan ketua pula ialah sinonim dengan perkataan pemimpin ataupun khalifah. Seterusnya, Perkataan keluarga pula bermaksud keturunan kita. Selain itu, perka

TIPS MENGERATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN

Sering terjadi beberapa hal yang melibatkan masalah rumah tangga sehinggalah menyebabkan berlakunya hal-hal yang tidak diingini. Zaman moden yang semakin canggih turut menjadi cabaran dalam kehidupan berkeluarga. Kes-kes penceraian kerap kali didengar pada masa kini sehinggakan menyebabkan beberapa golongan yang berstatus bujang takut untuk mendirikan rumah tangga mereka bersama yang dicintai. Kes penceraian yang semakin banyak terjadi menyebabkan anak-anak menjadi mangsa keadaan yang seterusnya akan menggangu emosi mereka. Akhirnya anak-anak tidak mendapat perhatian yang sepenuhnya sehinggakan menyebabkan anak-anak mereka terlibat dalam kancah yang tidak sihat seperti zina, rokok, rompak dan pelbagai jenis masalah sosial yang lain. Hal ini menyebabkan negara Malaysia tidak dapat melahirkan pemuda yang berwawasan tinggi dan berkaliber yang seterusnya akan dapat membantu negara dalam melahirkan masyarakat yang berdaya saing. Sehubungan dengan itu, ibu bapa memainkan peranan yang